Kementerian WP Tumpu Pembangunan Komuniti, Program River Of Life

KOTA BHARU, 7 Nov – Antara yang akan diberi tumpuan dalam peruntukan RM956.77 juta bagi membangunkan serta memberi manfaat kepada penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagaimana yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam; adalah soal pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar serta program River of Life (ROL).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar yang melibatkan peruntukan RM148.8 juta akan diurus sebaik mungkin, terutama dalam menambah baik kemudahan di kawasan yang telah dikenal pasti, antaranya Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur.

“Selain itu, pembangunan yang diperuntukkan kira-kira RM400 juta di bawah program River of Life juga akan saya teliti sekali lagi supaya peruntukan dapat diberi keutamaan kepada skop-skop tertentu, kerana kebanyakan peruntukan itu tertumpu kepada projek pembentungan serta baik pulih di sepanjang Sungai Klang-Sungai Gombak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama pimpinan Umno Kelantan di Bangunan Umno Negeri Kelantan di sini, hari ini, sebagai mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Annuar berkata jumlah peruntukan terbesar dalam sejarah belanjawan negara itu menunjukkan komitmen kerajaan menjaga kebajikan rakyat selain membuktikan keupayaan kerajaan mengembalikan semula ekonomi negara selepas mengalami tekanan akibat COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.