COVID-19: Tempahan Awal Vaksin Selepas Dapat Kelulusan KKM – Khairy

SEREMBAN, 7 Nov – Kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin COVID-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya yakin peruntukan itu mencukupi bagi membuat tempahan awal vaksin berkenaan yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan mula buat tempahan awal kepada vaksin yang sedang dibangunkan itu. Saya jangka dalam tempoh sebulan dua ini kita akan dapatkan maklumat keberkesanan vaksin itu daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir di sini, hari ini.

Khairy merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata kerajaan komited mendapatkan sumber vaksin COVID-19 antaranya melalui penyertaan Program COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyifatkan peruntukan RM400 juta untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong perkembangan sains dan teknologi adalah penting untuk mengkomersialkan produk ciptaan negara dan teknologi tempatan.

“Kita tak mahu hanya bergantung kepada teknologi luar negara yang mana melibatkan kos pembelian yang agak tinggi, jadi dengan adanya dana yang besar ini, ia akan ditumpukan pada penyelidikan produk dan teknologi dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan berkata pihaknya akan menyalurkan anggaran peruntukan berjumlah RM500,000 untuk membaik pulih jalan yang terputus dan membina semula tebing sungai Kampung Kuala Sawah yang runtuh susulan banjir pada Rabu lepas.

Sungai berkenaan turut menghubungkan beberapa kawasan termasuklah Kampung Stesen, Kampung Pasir, dan Pekan Kuala Sawah, dekat sini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.