Belanjawan 2021 Usaha Menyeluruh Bagi Pembangunan Sukan Berprestasi Tinggi – KBS

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuji tindakan kerajaan yang tidak melupakan kepentingan pelaburan dalam pembangunan sukan dan persiapan atlet sukan prestasi tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat merupakan usaha menyeluruh bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Melalui Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi meneruskan program pembangunan sukan sedia ada iaitu untuk sukan hoki, ragbi, badminton dan berbasikal di samping program pembangunan atlet wanita dan e-sukan bagi tahun 2021 nanti.

“Pengumuman itu juga memperlihatkan sebahagian daripada perencanaan yang telah dikemukakan oleh KBS untuk memulakan program pembangunan atlet bagi beberapa sukan teras yang lain seperti olahraga, renang, terjun, gimnastik, tenpin boling, skuasy dan golf bermula pada tahun 2021 juga.

“Pengenalpastian sukan-sukan itu adalah berasaskan beberapa faktor antaranya potensi untuk menyumbang pingat kepada negara di persada antarabangsa selain menawarkan bilangan acara dan pingat yang banyak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Reezal Merican berkata kelangsungan Program Pembangunan Bola sepak Negara (NFDP), Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan juga persiapan atlet prestasi tinggi di bawah Program Podium bagi menghadapi beberapa temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik (Tokyo 2020) serta Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2021 akan tetap diteruskan dengan peruntukan khusus di bawah perbelanjaan pembangunan, Rancangan Malaysia ke-11.

Beliau dalam masa sama memberi sepenuh keyakinan bahawa atlet-atlet kebangsaan akan terus berusaha untuk menggapai lebih banyak kejayaan buat negara di pelbagai peringkat kejohanan.

Belanjawan 2021 juga turut memperuntukkan RM103 juta untuk bina, naik taraf dan selenggara kemudahan sukan di seluruh negara, termasuk memberi had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan kepada RM3,000 dengan tambahan RM500 bagi perbelanjaan berkaitan sukan. – BERNAMA