Tengku Zafrul Bawa Teks Belanjawan 2021 Untuk Pembentangan

PUTRAJAYA, 6 Nov – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini membawa beg yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2021 dari bangunan kementerian ke Parlimen pada 2.35 petang.

Sebelum memulakan perjalanan, bacaan doa diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan, Ustaz Mohamad Zukrillah, bagi mendapatkan keberkatan.

Tengku Zafrul dilihat berpakaian baju Melayu lengkap bersamping diiringi Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

Tengku Zafrul dijadual membentangkan Belanjawan 2021 yang dinanti-nantikan di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.

Ditanya perasaannya yang pertama kali membentangkan belanjawan tahunan negara, Tengku Zafrul sempat menjawab “okay” sebelum memasuki kereta.

Beg yang diisi teks Belanjawan 2021 itu menarik perhatian umum kerana ia tidak menggunakan beg bimbit berwarna hitam yang menjadi tradisi sebaliknya beg sampul berwarna kelabu.

Belanjawan 2021 pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional selepas pertukaran kerajaan pada Mac tahun ini.

Belanjawan 2021 ini dinanti-nantikan rakyat dan disifatkan paling penting dan mencabar ekoran penularan COVID-19 yang memberi kesan mendalam kepada setiap rakyat serta ekonomi negara.

Belanjawan ini diharap memastikan kelangsungan ekonomi negara dan hidup rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19. – BERNAMA