Jalan Kampung RM11.67 Juta Ganti Jalan Balak Buat Masyarakat Orang Asli

LIPIS, 6 Nov – Pembinaan jalan kampung bernilai RM11.67 juta bagi menggantikan jalan balak yang menjadi medium utama perhubungan masyarakat Orang Asli dari 14 perkampungan di Pos Betau dan Pos Lenjang di sini dijangka siap pada April 2022.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan jalan sepanjang 15.4 kilometer itu telah bermula dengan pemilikan tapak pada 16 Okt lepas, dan apabila siap ia akan memudahkan urusan seharian kira-kira 4,000 penduduk di perkampungan berkenaan.

Beliau berkata pembinaan jalan oleh kontraktor dilantik, Persada Jitu Sdn Bhd itu turut melibatkan pembinaan satu jambatan baharu, manakala dua lagi jambatan sedia ada akan dinaik taraf bagi keselesaan pengguna jalan.

“Jalan ini kelak akan membantu memudahkan urusan penduduk, kerana pada masa ini mereka perlu menggunakan jalan balak yang keadaannya agak teruk semasa musim tengkujuh, sekali gus menyukarkan mereka untuk keluar masuk,” katanya.

Dalam ucapannya semasa merasmikan Projek Pelaksanaan Jalan Pos Betau ke Kampung Semoi Lama, Pos Lenjang di Pos Betau di sini, hari ini beliau berkata antara yang membawa kepada justifikasi pembinaan jalan ini ialah kesukaran penduduk ke klinik kesihatan terdekat di Pos Betau, pelajar terpaksa tinggal di asrama kerana tidak dapat berulang alik dan masalah guru serta petugas kesihatan untuk keluar masuk pada musim tengkujuh.

Wan Rosdy berkata apabila siap kelak, jalan itu juga dilihat akan membantu aspek pembangunan setempat, sekali gus memudahkan kerja meningkatkan kemudahan asas bagi mengubah sosio ekonomi dan kehidupan masyarakat Orang Asli di pos berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.