456 Individu Ingkar SOP Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengeluarkan 456 kompaun atas pelbagai kesalahan ke atas individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan tidak memakai pelitup muka masih mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 143 individu.

“Kesalahan lain adalah gagal mengamalkan penjarakan fizikal (137), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (77), aktiviti di pusat hiburan (28) dan lain-lain kesalahan (71),” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia berjaya menahan 25 pendatang tanpa izin dan dua tekong.

Sebanyak sembilan kenderaan berat turut dirampas semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 61,612 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam serta institusi pengajian awam dan swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,312 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 384 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 51,916 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Bagi operasi sanitasi awam pula, beliau berkata 42 operasi meliputi 13 negeri telah diadakan semalam melibatkan 265 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), 170 anggota pihak berkuasa tempatan dan 20 anggota agensi berkaitan dengan kekuatan 49 jentera JBPM.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat pemantauan ke atas 12 jenis bekalan barangan di 686 premis perniagaan termasuk peruncit (492), pemborong (167) dan pengilang (27) semalam.

Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan bekalan barangan keperluan harian yang mampu menampung keperluan dalam negara serta mudah diperoleh.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengusaha serta orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri ketika aktiviti jual beli barangan keperluan harian. – BERNAMA