Sulaiman Beri Bayangan Belanjawan Melaka 2021 Bersifat Inklusif

MELAKA, 5 Nov – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi bayangan Belanjawan Melaka 2021 yang akan dibentangkan sempena Persidangan Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 Isnin ini, akan bersifat inklusif tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Beliau berkata belanjawan tersebut akan berpaksi dan fokus kepada rakyat dengan strategi dan teras tertentu berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi.

“Justeru, kita (kerajaan negeri Melaka) seboleh-bolehnya akan merangka dan menyediakan suatu belanjawan yang benar-benar inklusif tanpa ada satu pun golongan yang tercicir atau dipinggirkan,” katanya ketika dalam ditemu bual Melaka.fm di sini, hari ini.

Sulaiman berkata bagaimanapun kerajaan tetap realistik dan tidak sesekali menjanjikan sesuatu yang sukar dilakukan, sebaliknya akan memastikan segala perancangan dan peruntukan yang diberikan kepada golongan sasar, telah mengambil kira kemampuan kewangan dan hasil kerajaan negeri.

“Melaka tidak seperti negeri lain yang mungkin mempunyai banyak sumber hasil bumi. Kita di Melaka ini sudahlah negeri kecil malah tidak mempunyai hasil bumi yang banyak untuk membantu menjana pendapatan dan ekonomi Melaka kini banyak bergantung kepada pendapatan daripada sektor pelancongan selain perkilangan dan pembuatan.

“Namun dengan penularan wabak COVID-19 ini, sudah tentu ia memberi impak yang cukup besar kepada sektor pelancongan di Melaka. Bagaimanapun, seperti yang telah saya sebutkan awal tadi, sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat, kita akan tetap berusaha untuk menyediakan suatu belanjawan yang mampu memberikan manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Persidangan Ketiga Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 akan berlangsung selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu depan dan Belanjawan Melaka 2021 dijadual dibentangkan pada hari pertama persidangan.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata beliau berharap agar anak buah Zainal Abidin Hassan dapat mempamer aksi terbaik ketika bertemu Selangor dalam perlawanan pertama Piala Malaysia 2020 Ahad ini di Stadium Hang Jebat di sini.

Beliau berkata pengalaman Zainal Abidin selaku bekas pemain Selangor dan pernah membimbing skuad The Red Giants sebelum ini amat ditagih sekali gus diharap mampu memberi kelebihan kepada Melaka United dalam perlawanan itu nanti.

“Begitu juga dengan pemain-pemain, saya harap mereka dapat memberikan yang terbaik dalam aksi kalah mati itu nanti. Tiada alasan lagi untuk mereka apatah lagi pengurusan pasukan telah berusaha keras sehingga berjaya menyelesaikan isu-isu tertunggak yang membelenggu mereka sebelum ini khususnya berkaitan gaji dan sebagainya.

“Saya harap mereka mampu menang ke atas Selangor seterusnya mencapai sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Kalau boleh sampai ke peringkat akhir, lagi terbaik,” katanya menambah ia hadiah paling bermakna untuk peminat Melaka United. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.