PKPB Di Mukim 12 Daerah Barat Daya P.Pinang Mulai Jumaat Hingga 18 Nov – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim 12 Barat Daya, Pulau Pinang berkuat kuasa Jumaat ini hingga 18 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan secara bersasar di kawasan itu.

“Sehingga 3 Nov, terdapat 35 kes yang positif COVID-19 termasuk 11 kes baharu direkodkan di mukim ini. Selepas mendapat nasihat KKM susulan peningkatan kes di mukim itu, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan PKPB di kawasan berkenaan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKPB masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan yang bermula sejak 23 Okt, akan tamat esok (5 Nov), seperti dijadualkan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.