Optimis Belanjawan 2021 Fokus Pakej Bantuan Survival Rakyat – MB Pahang

KUANTAN, 4 Nov – Kerajaan Pahang optimis bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, memberi fokus pakej bantuan survival kepada rakyat, khususnya kategori B40 yang terkesan akibat pandemik wabak COVID-19, yang sudah berlarutan sejak, awal tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan itu boleh diberikan secara langsung atau tidak langsung, seperti pemberian wang ‘one-off’ khusus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Bantuan ini juga hendaklah termasuk melanjutkan tempoh moratorium bagi pinjaman seperti kenderaan dan perumahan serta pemberian subsidi upah kepada majikan bagi memastikan mereka dapat mengekalkan pekerja dalam situasi ekonomi sukar sekarang.

“Perkara utama ialah rakyat mesti dibantu dalam keadaan yang sangat mencabar ini dan sebagai kerajaan yang prihatin serta berjiwa rakyat, ia wajib mengambil apa juga usaha terbaik untuk membantu rakyat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berpandangan kerajaan Persekutuan tidak boleh terlalu ketat dalam perbelanjaannya kerana bimbang tentang soal besar atau kecil defisit yang akan dialami, selagi kerajaan berhemah dalam melaksanakan perbelanjaan tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.