MOSTI Anggar RM3 Bilion Untuk Bekalan Vaksin – Khairy

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menganggarkan RM3 bilion diperlukan pada tahun hadapan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat kemudahan bekalan vaksin COVID-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata perkara berkenaan juga telah dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan.

“Saya telah maklumkan kepada menteri kewangan yang sekurang-kurangnya kita perlu imunisasi 70 peratus daripada rakyat Malaysia dan saya minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun depan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung jaminan kecukupan bekalan vaksin, Khairy berkata beberapa rundingan telah dan sedang dimuktamadkan dengan pembangun vaksin di seluruh dunia termasuk bersama kerajaan China.

Khairy berkata Menteri Luar China Wang Yi menerusi lawatan pada 13 Okt lepas juga telah mengumumkan Malaysia berada dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin daripada China.

Beliau turut mengulangi kenyataannya bahawa bekalan vaksin awal dijangka diperoleh pada suku pertama 2021 dengan wajaran pertama untuk tiga peratus populasi negara yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.

Khairy berkata akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan akan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan COVID-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam.

Menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Edris (Bersatu-Libaran) berhubung perkembangan terkini rundingan dengan Fasiliti Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX), beliau berkata Malaysia kini dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan penyertaan badan antarabangsa itu

“Dari segi harga yang ditawarkan, indicative price adalah dari segi maksimumnya USD21 untuk satu vaksin, jadi kita masih lihat beberapa klausa dalam perjanjian dengan COVAX itu yang perlu diperhalusi lagi. Kita harap akan dapat menandatangani penyertaan dalam COVAX ini dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan COVAX hanya sebahagian daripada keperluan negara untuk mendapatkan bekalan vaksin, dan sebahagian besar lagi bekalan akan diperolehi melalui rundingan dua hala dengan negara lain atau syarikat-syarikat lain. – BERNAMA