Belanjawan 2021: Belanjawan Pengembangan Untuk Sokong Rakyat, Pulihkan Semula Ekonomi

PUTRAJAYA, 4 Nov – Kerajaan dijangka membentangkan belanjawan pengembangan bagi memastikan kemakmuran rakyat, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi dalam waktu yang mencabar ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Fokus pertama kerajaan dalam Belanjawan 2021 ialah memerangi COVID-19, daripada perspektif kesihatan dan sehubungan itu, sejumlah besar dana akan disalurkan untuk tujuan menangani pandemik dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada petugas barisan hadapan terutamanya dalam bentuk infrastruktur.

“Kita akan lakukan sekarang dan terus melakukannya sehingga COVID-19 berakhir,” kata beliau kepada BERNAMA dan stesen televisyen tempatan di sini hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

Belanjawan 2021 kali ini merupakan yang pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau menegaskan belanjawan ini adalah kesinambungan daripada empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion yang telah diumumkan sejak Malaysia terjejas oleh pandemik COVID-19.

Pakej rangsangan paling terbaharu ialah bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion seiring dengan usaha untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN ini ialah lanjutan daripada pakej rangsangan ekonomi sebelumnya, iaitu PRIHATIN, PRIHATIN SME PLUS dan PENJANA dengan nilai RM295 bilion, atau kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion oleh kerajaan.

Bank Negara Malaysia telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelumnya, dengan andaian awal berdasarkan kepada tempoh sekatan pergerakan hanya selama empat minggu dan bukannya tujuh minggu.

Ekonomi dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021.

“Belanjawan ini adalah sebahagian daripada pendekatan 6R yang dimulakan oleh kerajaan iaitu Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform, kata beliau dalam temu bual yang berlangsung selama satu jam di sini hari ini.

Kerajaan kekal fokus dalam memastikan Belanjawan 2021 sebagai keutamaan untuk menyediakan sumber yang mencukupi, kata beliau.

“Kerajaan akan terus berbelanja dalam keadaan yang agak sukar ini untuk merancakkan ekonomi negara,” kata beliau.

Beliau menjelaskan kenaikan dalam nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada had statutori 55 peratus kepada 60 peratus sekarang, memberikan banyak ruang untuk kerajaan melaksanakan belanjawan pengembangan.

Economic Research Maybank Kim Eng mengunjurkan defisit sebanyak RM90 bilion atau 6.0 peratus daripada KDNK berbanding anggaran RM95 bilion atau 6.7 peratus daripada KDNK pada 2020.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan tahun lepas bernilai RM277.5 bilion.

Selain daripada kesihatan, bidang fokus kedua ialah membantu mereka yang kurang berdaya – individu dan perusahaan mikro terutama yang terkesan oleh COVID-19.

“Ketiga ialah merangsangkan kegiatan ekonomi untuk menyediakan peluang pekerjaan, aktiviti perniagaan di samping memacu pertumbuhan dan pemulihan pada 2021,” kata Muhyiddin.

Kerajaan juga akan menyediakan insentif untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam usaha mencergaskan lagi ekonomi negara.

“Situasi di peringkat global amat mencabar dan banyak negara berebut hendak mendapatkan pelaburan memasuki negara mereka. Jadi, ini adalah sesuatu yang kita perlu beri perhatian di masa depan.”

“Kita mahu melancarkan ekosistem infrastruktur perniagaan.”

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata insentif untuk menarik FDI ke dalam negara bukan hanya diberi tumpuan pada tahun 2021 tetapi juga tahun 2022.

Untuk tempoh enam bulan pertama 2020, Malaysia telah mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menguasai 69.8 peratus atau RM45.3 bilion sementara FDI merangkumi selebihnya iaitu RM19.5 bilion.

Menduduki tangga ke-12 dalam senarai Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia pada 2020, jumlah pelaburan langsung asing Malaysia yang diluluskan pada 2019 ialah sebanyak RM82.4 bilion.

Muhyiddin memberi jaminan bahawa Belanjawan 2021 akan menjadi Belanjawan paling menyeluruh atau komprehensif yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan. – BERNAMA