Nasihat MKN, KKM Dirujuk Dalam Penghantaran Jemaah Umrah

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Khidmat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dirujuk dalam penghantaran jemaah umrah Malaysia ke Tanah Suci.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata bagi kerajaan, keselamatan serta kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi.

Menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi yang memberi kebenaran kepada jemaah luar mengerjakan umrah selama 10 hari, kedua-dua menteri berkata pihak mereka akan bekerjasama rapat dalam memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan ibadah itu.

“Kerajaan akan terus memantau situasi COVID-19 khususnya di Malaysia dan pada masa sama, meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak,” menurut kedua-dua menteri.

Pada 23 Sept lepas, Arab Saudi mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.