Yang Dipertua Dewan Rakyat Nasihat Semua Ahli Parlimen Ketepi Fahaman Politik, Bersatu Kekang COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini, dimulakan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya mengetepikan perbezaan dan perbalahan politik, dalam memainkan peranan membendung pandemik COVID-19.

Beliau turut mengingatkan semua Ahli Parlimen, sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang, bersatu hati dalam memainkan peranan itu demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

“Seperti mana yang Yang Berhormat sedia maklum, perjuangan mengekang penularan COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia, masih belum selesai. Ia sesungguhnya memberi kesan dan menjejaskan banyak pihak termasuk rakyat negara ini.

“Saya mengajak semua ahli Yang Berhormat tanpa mengira latar belakang dan khususnya (perbezaan) fahaman politik (untuk) mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan, bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dan membantu kerajaan dan pihak berkuasa dalam membendung COVID-19,” katanya sambil menyatakan ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Azhar yang berkata demikian ketika pemasyhuran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, turut memaklumkan langkah berjaga-jaga diambil termasuk mengedarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua Ahli Parlimen.

Beliau berkata semua Ahli Parlimen dari Sabah juga perlu menjalani kuarantin 14 hari, berikutan situasi semasa COVID-19 di negeri itu.

“Ahli Yang Berhomat dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum persidangan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat atas kerjasama ahli-ahli Yang Berhomat dari Sabah yang telah atau sedang menjalani kuarantin. Besar pengorbanan mereka sebenarnya.

“Saya berharap dan menasihatkan semua ahli Yang Berhormat supaya sentiasa mematuhi SOP, iaitu penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan atau menggunakan ‘hand sanitizer’,” katanya.

Beliau meminta semua pihak mendoakan agar wabak COVID-19 segera dibendung sepenuhnya dan tidak memberikan ancaman kepada negara, seterusnya persidangan Dewan Rakyat dapat berlangsung seperti biasa. – BERNAMA