PKPD Di Institut Latihan KKM Johor Bahru Bermula 3 Hingga 16 Nov

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor Bahru bermula esok hingga 16 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bagi menyekat penularan COVID-19.

Katanya sehingga kini, sebanyak 1,515 saringan COVID-19 telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu 46 individu didapati positif COVID-19.

“PKPD ini akan melibatkan 1,559 individu yang terdiri daripada pelatih ILKKM, kakitangan serta ahli keluarga dan pekerja sokongan.

“Dengan pelaksanaan ini, semua yang terlibat dikehendaki dan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pergerakan keluar masuk ke ILKKM adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.