PKPD Di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu Bermula 3 Hingga 16 Nov

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah bermula 3 hingga 16 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu bagi menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan pusat tahanan tersebut.

Katanya setakat 30 Okt, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 orang tahanan didapati positif COVID-19.

“PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua aktiviti keluar masuk ke kawasan pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar, Kedah, mulai esok, 2 Nov.

Katanya saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 1 Nov mendapati tiada lagi kes positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh 7 hari terkini.

Mengenai penguatkuasaan pematuhan PKPP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 485 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah itu semalam.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (162), penjarakan fizikal (123), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (79), aktiviti pusat hiburan (25), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (83).

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, beliau berkata seramai 41 warga asing serta empat kenderaan darat berjaya dirampas semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.