Peruntukan RM3.01 Juta Di Bawah IWC 4.0 Untuk Labuan

LABUAN, 31 Okt – Kementerian Wilayah Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM3.01 juta bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan berpendapatan rendah di pulau bebas cukai disini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 17 Okt.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata bantuan sosial menerusi Inisiatif Wilayah Cakna 4.O (IWC 4.0) yang bermula dari bulan Oktober sehingga 31 Disember 2020 itu turut disampaikan kepada atlet sukan dan gelandangan.

“Ini adalah atas keperihatinan kerajaan untuk membantu golongan B40 dan miskin di Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk atlet, para jurulatih sukan serta golongan gelandangan yang terkesan dengan COVID-19 dan PKPB,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Katanya selain itu 772 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Labuan, dikecualikan daripada bayaran sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan yang melibatkan pengecualian hasil RM518,055 kepada perbadanan itu.

“Seramai 468 orang peniaga kecil dan peniaga pasar awam, dikecualikan bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan peniaga kecil dan pasar awam bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 melibatkan pengurangan hasil sebanyak RM25,275 kepada Perbadanan Labuan,” katanya.

Selain itu Annuar berkata penyewa-penyewa perumahan awam milik Perbadanan Labuan juga menikmati pengecualian sewa perumahan bagi tempoh sama, sekali gus memberi manfaat kepada 617 penyewa, yang melibatkan pengecualian hasil kepada Perbadanan Labuan berjumlah RM519,045.

Menurutnya 108 pemilik tanah yang melibatkan 85 syarikat, menikmati diskaun 30 peratus untuk kadar bulanan pajakan tanah dengan keseluruhan pengurangan hasil berjumlah RM592,380.

“Seramai 2,000 pelajar sekolah daripada keluarga miskin di Labuan akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 secara one-off sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Baucer ini boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing untuk pembelian buku-buku latihan dan alat tulis bagi sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya.

Annuar juga berkata bayaran diskaun kompaun juga diberikan pada kadar tetap RM15 sahaja sepanjang tempoh PKPB sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, sumbangan berjumlah RM3,000 secara one-off diberikan kepada enam zon/sub zon Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, melibatkan peruntukan berjumlah RM18,000 untuk pelaksanaan program-program pencegahan COVID-19 dalam kalangan komuniti bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Program nyah kuman merangkumi aktiviti-aktiviti disinfeksi serta pembersihan menyeluruh di semua kawasan kemudahan awam Labuan juga dilaksanakan secara berterusan bagi membendung penularan wabak COVID-19 melibatkan kos sebanyak RM200,000.

Selain bantuan kepada warga Labuan, Annuar berkata Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) juga akan meneruskan pemberian elaun latihan kepada 700 atlet dan 103 jurulatih SUKMA Wilayah Persekutuan dengan peruntukan sejumlah RM 937,515, meskipun tiada aktiviti latihan dan sukan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB ini.

Annuar juga berkata kira-kira 300 golongan gelandangan akan menerima insentif khas yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Program Pembangunan Modal Insan, Program Latihan Industri di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL), Program Pencarian/Pemadanan Kerja Kategori Pekerjaan Separa Mahir di syarikat-syarikat Swasta adalah khusus untuk golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan moral daripada semua pihak.

“Selain bantuan kewangan, kementerian juga sedang merangka mekanisme yang lestari bagi jangka masa yang panjang yang diperlukan dalam usaha memastikan ekonomi terus mampan dan Wilayah Persekutuan sifar COVID-19 dapat dicapai. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.