COVID-19: 456 Individu Ditahan, Dikompaun Ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Seramai 456 individu ditahan dan dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (174), penjarakan fizikal (74), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (72), aktiviti pusat hiburan (34) dan lain-lain (102), katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, beliau berkata seramai 12 warga asing dan dua tekong ditahan serta berjaya merampas dua kenderaan darat, semalam.

Katanya, sebanyak 298 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, sebanyak 58,363 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 63 hotel dan 18 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,960 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 48,024 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,708 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan daripada jumlah itu sembilan premis diberi nasihat tidak patuh SOP.

“Kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.