549 Individu Ditahan Ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Seramai 549 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 547 individu dikompaun manakala dua lagi direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (188), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (154), penjarakan fizikal (79), premis beroperasi lebih masa (34), aktiviti di pusat hiburan (9) dan lain-lain (85), katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, beliau berkata seramai 14 warga asing ditahan dan enam kenderaan darat serta satu bot dirampas semalam.

Katanya, sebanyak 291 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 56,699 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,523 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 46,795 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.