PKPB Di Selangor, KL Dan Putrajaya Dilanjutkan Dua Minggu Sehingga 9 Nov

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 Nov ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas meneliti perkembangan semasa penularan COVID-19 di Lembah Klang.

“Setakat ini, penilaian risiko dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi untuk berlakunya penularan COVID-19, maka mengambil kira penilaian risiko itu, PKPB akan dilanjutkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPB untuk tempoh dua minggu itu akan turut menggunakan SOP yang sama.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 hingga 27 Okt.

Ismail Sabri berkata mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan, Sabah bermula 28 Okt hingga 10 Nov, merangkumi 5,100 unit rumah yang melibatkan seramai 22,500 penduduk.

PKPD juga akan dilaksana di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di kawasan itu yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif COVID-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

Beliau berkata PKPD tersebut akan berkuat kuasa bermula 28 Okt hingga 10 Nov.

Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju melaksanakan PKPB di Zon Nilai, Negeri Sembilan berkuat kuasa 28 Okt hingga 10 Nov berikutan peningkatan kes positif COVID-19 warga asing di zon berkenaan.

Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 27 Okt
BERNAMA