Patuh Titah Agong, Henti Politiking – MB Pahang

KUANTAN, 26 Okt – Semua pihak perlu patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghentikan perbuatan ‘politiking’ (mainan politik) yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keutamaan pada masa kini adalah semua rakyat Malaysia perlu ‘bergerak bersama-sama’ bagi membendung pandemik wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Saya percaya gerakan untuk membendung pandemik COVID-19 akan diberi tumpuan khusus pada pembentangan Belanjawan Negara 2021 tidak lama lagi.

“Kerajaan Negeri Pahang menjunjung kasih atas titah Seri Paduka yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin negara terutamanya dalam menangani isu penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan medianya memaklumka Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.