COVID-19 Serlah Kepentingan Literasi Kewangan – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Penerapan elemen literasi kewangan dalam gaya hidup dan urusan seharian kini menjadi semakin penting di era pandemik COVID-19, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Menurutnya, COVID-19 telah memberi kesan ketara kepada kehidupan sejagat di seluruh dunia justeru itu beliau menekankan kepentingan bagi rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengurus kewangan di tengah-tengah pandemik ini.

“Ada dalam kalangan kita yang mengambil langkah bijak dengan menilai semula kedudukan kewangan mereka dengan mencari alternatif dalam mengharungi norma baharu.

”Namun, yang menjadi kekesalan kepada saya, ada juga kumpulan yang mudah terjejas, tetapi mereka tidak bersiap-sedia dari segi kewangan untuk menghadapi keadaan di luar jangkaan ini,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian dalam ucap tamanya semasa webinar yang diadakan Bank Negara Malaysia (BNM) bertajuk “#BePrudent: Take Control of Your Finances” bersempena Bulan Literasi Kewangan 2020, di sini, hari ini.

Bulan literasi kewangan itu yang dilancarkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pada 6 Oktober lepas merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan FEN untuk meningkatkan tahap celik kewangan di semua peringkat lapisan masyarakat.

Menurutnya, hutang isi rumah telah mencecah 87.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan sebanyak 11,800 daripada 46,760 individu atau 25.2 peratus kes kebankrapan dari tahun 2017 – 2019 terdiri daripada golongan muda berumur kurang daripada 35 tahun.

“Situasi ini sangat membimbangkan. Tambahan dengan penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Justeru itu, katanya, menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan kualiti hidup rakyat menjadi bertambah baik dan kemakmuran serta kesejahteraan dapat dinikmati bersama.

Mohd Shahar turut menggesa FEN dan rakan usaha samanya daripada sektor awam dan swasta untuk menggembleng tenaga merealisasikan matlamat Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.

“Tanggungjawab kita untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat akan diteruskan dengan iltizam yang jitu untuk memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran kewangan.

“Saya yakin pengetahuan yang ditimba daripada pelbagai program yang berkaitan dengan pendidikan kewangan melalui ceramah, webinar, kuiz, pertandingan, perbincangan dan pameran secara dalam talian, sepanjang bulan literasi kewangan ini akan berjaya mendidik masyarakat supaya lebih berupaya dalam membuat keputusan kewangan dengan bijak,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.