Perak Negeri Pertama Lancar Warong Rider – Khairul Shahril

IPOH, 21 Okt – Perak menjadi negeri pertama melancarkan khidmat penghantaran Warong Rider bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain menjana peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata inisiatif yang dilancarkan kerajaan negeri itu merupakan usaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dengan kerjasama Idea Creative Technology Sdn Bhd dan Digital Perak Corporation Holdings.

“Inisiatif ini dijangka menjana 1,200 peluang pekerjaan kepada rakyat Perak terutamanya kepada golongan asnaf, penganggur dan B40.

“Bagaimanapun, seramai 480 penghantar akan dilantik terlebih dahulu bagi peringkat awal di bawah kesemua 24 kawasan Parlimen di Perak,” katanya pada sidang media pelancaran awal Warong Rider oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Meor Rezal Fitri Meor Redwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Warong Rider Mohd Nadzri Kamarulzaman.

Khairul Shahril berkata Warong Rider menawarkan pelbagai khidmat penghantaran seperti makanan, dokumen dan bungkusan, ubat-ubatan, barangan dapur serta khidmat belian barangan pembeli peribadi yang dapat membantu usahawan IKS Perak yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Katanya, perkhidmatan Warong Rider yang dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan adalah berbeza dengan perkhidmatan penghantaran yang lain kerana mengenakan caj penghantaran yang jauh lebih murah iaitu hanya RM2 bagi dua kilometer (km) pertama dan 60 sen bagi km seterusnya.

“Ia sekali gus dapat membantu pihak usahawan IKS memasarkan produk mereka menerusi perkhidmatan ini malah orang ramai bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar dapat menggunakan Warong Rider,” katanya.

Selain menerima elaun tetap sebanyak RM1,200 sebulan, penghantar Warong Rider boleh menikmati kelebihan lain termasuk Kit Pemula bernilai RM250 melalui Geran CONNECTIME daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation Malaysia) dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia serta komisen penghantaran. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.