PKPD Di Kg Saguking Laut, Kg Sebor Baru Di Labuan Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Baru di Labuan bermula 21 Okt hingga 3 Nov ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu dilaksana bagi mengawal pergerakan keluar masuk di dua kampung berkenaan.

“Ia akan melibatkan 8,062 penduduk dan ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan COVID-19.

“Penduduk juga diarahkan supaya menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan memakai gelang pengawasan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pergerakan keluar masuk juga tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan penduduk dalam kawasan tersebut turut tidak dibenarkan bekerja.

Aktiviti sosial dan riadah dalam kawasan tersebut juga dilarang dan aktiviti ‘barter trade’ atau perdagangan pertukaran barang juga tidak dibenarkan, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sedikit kelonggaran diberikan kepada aktiviti perniagaan untuk menjana ekonomi seperti kedai runcit dan premis makanan yang dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang melalui kaedah bawa pulang sahaja.

“Kebajikan penduduk akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Labuan dikenakan PKPB mulai 17 hingga 31 Okt.

Setakat semalam, Labuan mencatat 154 kes dengan dua kluster iaitu Kluster Bah Layangan dan Kluster Bangat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sehingga kini tiada sebarang keputusan untuk melanjutkan atau tidak PKPB kerana ia terpulang kepada keadaan semasa jangkitan virus tersebut.

Namun, beliau berkata ‘kuasa’ untuk menukar semula status sesuatu kawasan daripada PKPB kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berada di tangan rakyat.

Setakat ini, PKPB dilaksana di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Di seluruh Sabah, PKPB berkuat kuasa dari 13 hingga 26 Okt, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 hingga 27 Okt. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.