Pejabat Ketua Menteri Melaka Nafi Melaka Dikenakan Kawalan Rentas Negeri

MELAKA, 20 Okt – Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan negeri itu akan dikenakan kawalan rentas negeri bermula tengah malam ini.

Pejabat itu, dalam satu kenyataan menyatakan laporan berita yang tular di media sosial ketika ini, adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

“Ingin ditegaskan juga bahawa YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali Ketua Menteri Melaka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dilaporkan atau ditularkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyiarkan sebarang berita palsu, yang boleh menimbulkan keresahan, kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, ketika keadaan semasa pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara termasuk Melaka dengan peningkatan kes jangkitan positif yang berlaku setiap hari.

“Orang ramai khususnya rakyat di Melaka turut dinasihatkan, untuk tidak mempercayai sebarang khabar angin atau berita palsu yang disiarkan atau diperolehi daripada sumber-sumber yang tidak sah atau tidak mempunyai autoriti.

“Untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan perkembangan dan situasi semasa pandemik COVID-19 khususnya di Melaka, orang ramai diminta merujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Jabatan Kesihatan Melaka atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka,” menurut kenyataan itu.

Hari ini tular di aplikasi WhatsApp mengenai penyebaran sebuah petikan berita yang mendakwa, kerajaan Persekutuan dan negeri tidak membenarkan penduduk dari Melaka untuk merentas negeri, susulan perintah Kawalan Rentas Negeri yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini sehingga 4 Nov depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.