Exco Sangkal Dakwaan Jumlah Positif COVID-19 Di Melaka Terlalu Ramai

MELAKA, 20 Okt – Kerajaan Melaka hari ini menyangkal dakwaan individu menerusi rakaman suara yang tular bahawa jumlah mereka yang positif COVID-19 di negeri itu terlalu ramai dan tidak seperti yang dilaporkan oleh media.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata dakwaan itu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat di Melaka.

“Begitu juga dengan penyebaran berita yang mendakwa Melaka akan dikenakan kawalan rentas negeri selama dua minggu bermula tengah malam ini, itu juga berita palsu.

“Selain itu, dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan Hospital Melaka positif COVID-19 dan wujud kluster membabitkan kakitangan, jururawat serta doktor di hospital itu juga tidak benar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negeri tersebut agar bertenang serta berhenti menyebarkan berita palsu berkenaan, selain mendapatkan maklumat sahih menerusi media sosial rasmi Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Melaka atau menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Melaka di talian 06-2345999.

Hari ini tular menerusi aplikasi WhatsApp rakaman suara seorang lelaki mendakwa jumlah individu dikesan positif COVID-19 terlalu ramai, tidak seperti yang dilaporkan media dan perkara itu kononnya dimaklumkan oleh doktor yang bertugas di Hospital Melaka ketika dia hendak membuat ujian calitan.

Lelaki itu juga mendakwa terdapat dua wad di hospital berkenaan telah penuh dengan pesakit COVID-19 dan Kolej Komuniti Alor Gajah akan dibuka bagi menampung peningkatan pesakit tersebut.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata seramai 58 pelajar dan 40 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin di sini telah menjalani ujian calitan COVID-19 semalam, selain diarah menjalani kuarantin sehingga didapati bebas daripada jangkitan wabak tersebut.

Semalam Bernama melaporkan SMK itu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Okt bagi membolehkan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka selepas ada ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.