RM2.6 Juta Untuk Proses Sanitasi Di Putrajaya

PUTRAJAYA, 19 Okt – Kerajaan memperuntukkan RM2.6 juta untuk operasi sanitasi awam di Putrajaya khusus untuk membendung penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Operasi sanitasi atau nyahkuman itu akan dilaksanakan di semua jabatan kerajaan, masjid, pusat beli-belah serta kawasan awam, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Operasi Sanitasi Awam di Presint 4 di sini, hari ini.

“Proses sanitasi ini perlu dilaksanakan dengan kerap di pusat pentadbiran negara kerana ia merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh orang awam untuk pelbagai urusan,” katanya.

Annuar berkata 600 persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diberi peruntukan khas masing-masing antara RM2,000 dengan RM3,000 untuk melaksanakan kempen kesedaran mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan perlu memberi keutamaan terhadap peruntukan untuk memerangi COVID-19 termasuk bagi pembelian bahan sanitasi, kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta elaun lebih masa untuk petugas barisan hadapan.

Operasi sanitasi hari ini dilaksanakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, SW Corp dan Alam Flora. – BERNAMA