PKP: Lebih 12,000 Bakul Makanan Diagih Kepada Kumpulan Sasar Di Sabah

KOTA KINABALU, 15 Okt – Kerajaan Sabah telah menyerahkan sebanyak 12,313 bakul makanan setakat ini kepada kumpulan sasar di semua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut memberi bantuan dengan menyerahkan sebanyak 6,300 bakul makanan setakat ini dan jumlah itu akan ditambah mengikut kesesuaian.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah juga akan terus memantau sekali gus memperkemaskan lagi proses agihan bakul makanan bagi memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran.

“Agihan bakul makanan akan dibuat di semua daerah susulan pelaksanaan PKPB. Namun, kita akan memberi keutamaan kepada keluarga yang menjalani kuarantin terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shahelmey berkata pihaknya turut menerima maklumat terdapat ramai wakil rakyat Sabah mengambil inisiatif menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasar terutama yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 di kawasan masing-masing.

Beliau berkata rakyat Sabah khususnya yang berada di 11 zon merah dinasihatkan untuk mematuhi arahan kawalan pergerakan sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sebagai usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.