Ku Li Gesa Usul Tidak Percaya Terhadap PM Dibahas Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual bermula 2 Nov ini.

Gesaan itu dibuat menerusi surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, pada 25 Sept lalu, yang dikongsi kepada media hari ini.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Dari segi perlembagaan, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap (Standing Orders) yang boleh menghalang usul ini daripada dibentang di dewan yang mulia ini sebagai suatu keutamaan mendesak.

“Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar Usul Tidak Percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada persidangan akan datang ini,” kata Tengku Razaleigh yang menjadi Ahli Parlimen sejak 1974.

Surat Tengku Razaleigh itu merujuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa pada persidangan Julai.

Berdasarkan kepada surat itu, Tengku Razaleigh berkata pencadang usul tersebut mendakwa Perdana Menteri sebanyak dua kali enggan membenarkan usul itu dibahaskan dengan menyenaraikannya di penghujung Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, menyebabkan usul itu tidak sempat dibahaskan.

Pendedahan itu turut menyertakan surat jawapan Azhar bertarikh 29 Sept, yang antara lain menyatakan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan Usul Tidak Percaya dibahaskan adalah tidak benar dan menjelaskan susunan Aturan Urusan Mesyuarat lepas dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

“Seperti YBM Tan Sri sedia maklum Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan-urusan lain.

“Oleh itu yang demikian, kesemua urusan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan-Urusan Kerajaan telah didahulukan semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mulai 13 Julai hingga 27 Ogos 2020,” kata Azhar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan Usul-usul Persendirian termasuk Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri dari Ahli Parlimen Langkawi dan Usul Percaya Terhadap Perdana Menteri daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ahli Parlimen Sabak Bernam dan Ahli Parlimen Arau disenaraikan berdasarkan masa penerimaan usul-usul itu.

Pendedahan surat Tengku Razaleigh itu dibuat sehari selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sementara itu, sumber rapat Tengku Razaleigh ketika ditanya mengapa surat berkenaan baru didedahkan kepada umum, berkata: “Jawapan bertulis daripada Speaker tidak memuaskan dan undi tidak percaya masih relevan.”

Beliau turut berkata tujuannya adalah untuk memaklumkan rakyat berhubung keadaannya kerana Perlembagaan Persekutuan adalah unggul. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.