UMNO, BN Berhak Semak Kerjasama, Pastikan Muafakat Lebih Perkasa, Tersusun – Annuar

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpandangan mungkin ada asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Kata Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), UMNO dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa dan tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.

“Saya berpandangan kita perlukan kebijaksanaan dalam semua tindakan. Dahulukan kepentingan rakyat.

“Kita perlu stabilkan politik negara. Kita juga perlu perkuatkan perpaduan Melayu, iaitu asas kestabilan politik negara. UMNO, PAS dan PPBM sama-sama bertanggungjawab mewujudkan perpaduan tersebut,” ujar Setiausaha Agung Muafakat Nasional itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelas Annuar lagi, politik negara perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpukan menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik COVID-19.

“Memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta jadikan Malaysia sebuah negara berjaya (bukan “a failed state” atas apa juga sebab),” katanya.

Justeru ujarnya, tidak salah untuk UMNO, PPBM dan PAS kembali ke ‘drawing board’ politik agar semuanya dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

“Untuk itu kita perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.

“Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.