Anwar Hanya Serah Jumlah Sokongan Ahli Dewan Rakyat, Bukan Senarai Nama – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini hari ini.

Menurut kenyataan Istana Negara jumlah berkenaan dikemukakan Anwar selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap beliau pada pukul 11 pagi tadi.

Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dalam kenyataan itu Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media khas beberapa jam selepas sesi menghadap berkenaan, memaklumkan telah mempersembahkan dokumen ‘sahih’ sokongan lebih 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.