KWSP Jalankan Kaji Selidik Rundingan Awam Untuk Tambah Baik Skim Persaraan

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menjalankan Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 untuk mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai mengenai skim KWSP sedia ada serta penambahbaikan yang telah dilaksanakan.

Menurut kenyataan KWSP hari ini, kaji selidik itu dibuka hingga 30 Nov, 2020 kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang bekerja di negara ini melalui laman sesawang https://survey2020.kwsp.gov.my.

Semua lapisan masyarakat dipelawa untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik secara dalam talian selama lapan minggu bermula 8 Okt, 2020 itu, menurut dana persaraan tersebut.

Ia berkata kaji selidik itu adalah sejajar dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan lebih baik, di samping melindungi simpanan mereka dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Ketua Pegawai Strategi, Nurhisham Hussein berkata pihaknya sedia maklum bahawa keperluan ahli berubah mengikut faktor kehidupan semasa, usia atau kemajuan kerjaya mereka.

“Selain keperluan ahli, landskap pekerjaan dan budaya kerja juga telah berubah dengan penggunaan teknologi dan keadaan ekonomi.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kami mengkaji semula skim KWSP dan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kami perlu mendapatkan maklum balas orang ramai,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata tumpuan kaji selidik ini adalah perkara yang dibangkitkan oleh ahli untuk perhatian KWSP dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun pihaknya telah melakukan yang terbaik melalui pelbagai inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan namun KWSP merasakan ia boleh melaksanakannya dengan lebih baik dengan mengemukakan soalan lebih spesifik berkaitan dengan aspirasi ahli, katanya.

“Justeru, kaji selidik tahun ini merangkumi soalan berkaitan caruman, pengeluaran, dividen, dan struktur akaun KWSP,” katanya.

Nurhisham juga menekankan kaji selidik tersebut adalah untuk orang ramai, sama ada mereka merupakan pencarum KWSP atau tidak, kerana pihaknya ingin mendengar pendapat daripada semua pihak untuk merancang skim KWSP yang inklusif dan mampan.

Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 bertujuan mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai berkenaan skim KWSP sedia ada dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan selain memahami keperluan ahli dan bakal ahli sebelum dan selepas bersara, kata KWSP.

Ia juga bertujuan memperkukuh aspek hala tuju dan strategi dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap skim KWSP serta produk dan perkhidmatannya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.