Enam Lagi Kluster Baharu Dikesan Hari Ini – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Terdapat pertambahan enam kluster baharu COVID-19 di dalam negara iaitu Kluster Bah Manggis, Kluster Utama, Kluster Tasik dan Kluster Simera kesemuanya di Selangor, Kluster Putra di Sarawak dan Kluster Highway di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Manggis di Tawau, Sabah dan Kuala Langat, Selangor melibatkan kes indeks ke-12,866 yang telah menjalani saringan bergejala pada 5 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

PUTRAJAYA, 23 Mac — Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkenaan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
Kementerian Kesihatan mengesahkan empat lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini ialah 14 orang dan 1,518 kes positif COVID-19.
–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tujuh lagi kes positif dikenal pasti manakala 73 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Bagi Kluster Utama di Gombak, Petaling dan Selangor, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan kes indeks ke-12,549 yang telah dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 4 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Berdasarkan saringan kontak rapat, sembilan lagi kes positif telah dikesan, manakala 89 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai Kluster Tasik melibatkan Miri, Sarawak dan Petaling, Hulu Langat dan Klang di Selangor, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks ke-13,489 itu dikenal pasti positif hasil saringan di pintu masuk ke negeri Sarawak pada 3 Okt, dan telah dimasukkan ke Hospital Miri.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sembilan lagi kes positif dan empat individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Simera melibatkan Besut, Terengganu, Kuantan di Pahang serta Petaling, Hulu Langat dan Klang di Selangor, Dr Noor Hisham berkata, ia merupakan kes indeks ke-13,991 yang dikenal pasti hasil saringan bergejala pada 6 Okt, dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terangganu, Kuala Berang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah mengesan tujuh lagi kes positif manakala 30 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Putra di Bintulu melibatkan kes indeks ke-14,696 yang dikesan positif pada 8 Okt, juga hasil saringan di pintu masuk ke negeri Sarawak.

“Saringan kontak rapat telah mengesan empat lagi kes positif dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan, manakala 50 individu lagi masih menunggu keputusan.

Beliau berkata Kluster Highway di Kota Belud melibatkan kes indeks ke-12,205 yang dikenal pasti hasil saringan bergejala pada 3 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

“Berdasarkan saringan kontak rapat 22 lagi dikesan positif,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes termasuk Kluster Tembok (27 kes), Kluster Ramai-Ramai (18 kes), Kluster Benteng LD (lapan), Kluster Bah Puchong (enam), Kluster Tanamera (tiga), Kluster Penjara Reman (tiga), Kluster Laut (dua) Kluster Jalan Meru (dua) manakala Kluster Benteng PK dan Kluster Selasih masing-masing mencatatkan satu kes.  – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.