COVID-19 : Polis Labuan Buru Penyebar Khabar Angin

LABUAN, 10 Okt – Polis kini memburu seorang individu yang menggunakan media sosial iaitu aplikasi WhatsApp untuk mewujudkan rasa takut dan panik dalam kalangan masyarakat dengan menyebarkan khabar angin bahawa terdapat kluster baharu COVID-19 sekurang-kurangnya di 14 kawasan di pusat bandar dan pinggir bandar.

Ketua Polis Labuan Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata individu itu didakwa telah menghantar satu pesanan ringkas pada 4.30 petang 8 Okt melalui aplikasi WhatsApp yang kemudian tular, antaranya menyebut bahawa kawasan yang dijangkiti ialah Pasaraya Savemore dan sekitarnya, Pasaraya Milimewa, Klinik Dr Tan dan mesin juruwang (ATM) Maybank di Lapangan Terbang Labuan.

“Kami menerima laporan daripada pengurus Savemore mengenai berita palsu yang diterimanya melalui mesej di aplikasi WhatsApp. Beliau membuat laporan itu selepas menimbangkan kesannya ke atas perniagaan,” katanya hari ini.

Muhamad Farid berkata mesej yang tidak disahkan itu telah dihantar kepada orang ramai sehingga mengganggu ketenteraman awam dan boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.