37 Lokasi Tanah, Jalan Runtuh Akan Dibaiki Segera

GUA MUSANG, 10 Okt – Jalan di 37 lokasi kejadian tanah dan jalan runtuh melibatkan laluan sejauh 20 kilometer dari Pos Hendrop ke Pos Tuel di sini akan dibaiki segera dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata kerja membaiki jalan yang rosak itu penting bagi membantu memudahkan urusan harian penduduk Orang Asli yang terjejas susulan insiden itu Julai lepas.

Katanya, beliau telah berbincang dengan kerajaan negeri mengenai masalah itu untuk tindakan kerajaan pusat dan kerajaan pusat akan melaksanakan projek membaiki jalan berkenaan secepat mungkin bagi mengelakkan komuniti Orang Asli terputus hubungan kerana ia merupakan laluan utama digunakan mereka.

“Saya difahamkan syarikat terlibat dengan projek itu sedang dalam proses menghantar jenteranya bagi memulakan kerja membaiki jalan yang rosak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan di Jalan Pos Tuel di sini, hari ini.

Mohd Syahbudin juga berharap agar projek itu tidak ditangguh kerana boleh memberi kesan buruk kepada keselamatan penduduk terutama ketika dalam perjalanan menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop.

“Keadaan jalan itu sangat berisiko dan mudah terdedah bahaya kepada penduduk…sebab itu kita perlu mengambil langkah segera membaikinya yang akan dimulakan dalam masa terdekat. Malah, musim tengkujuh sekarang ini menambahkan kebimbangan mereka untuk melalui jalan itu kerana ia menjadi semakin licin dan sempit,” katanya.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada jalan berkenaan tiga bulan lepas disebabkan berlakunya banjir lumpur, namun tiada kerosakan kediaman penduduk kaum itu dilaporkan. – BERNAMA

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.