Speaker, Lima Menteri Dan 18 Pembantu Menteri Sabah Angkat Sumpah

KOTA KINABALU, 8 Okt – Bekas senator Datuk Kadzim M. Yahya hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini.

Turut mengangkat sumpah ADUN Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada Bersatu sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sabah dan ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin daripada UMNO (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah),

ADUN Tanjung Keramat Shahelmy Yahya daripada UMNO (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat Sabah), ADUN Karambunai Datuk Yakub Khan daripada UMNO (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah) dan ADUN Sook Datuk Ellron Angin daripada STAR (Menteri Belia dan Sukan Sabah).

Selain itu, 18 ADUN mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri iaitu ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir (STAR) dan ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda (Bersatu), kedua-duanya sebagai Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri.

Dua Pembantu Menteri Kewangan pula ialah ADUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Bersatu) dan ADUN Pantai Dalit Jasnih Daya (UMNO).

ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury daripada Bersatu dan ADUN Binkor Robert Tawik @ Nordin daripada STAR mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Kerja Raya.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan adalah ADUN Sugut daripada UMNO Datuk James Ratib dan ADUN Tandek Hendrus Anding daripada PBS, manakala ADUN Pantai Manis Tamin @ Tamin Zainal daripada UMNO sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Industri.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II pula adalah ADUN Klias Datuk Isnin Aliasnih (Bersatu) dan ADUN Sungai Sibuga Mohamad Hamsan Awang Supain (UMNO).

ADUN Labuk Samad Jambri (Bersatu) dan ADUN Bengkoka Harun Durabi (UMNO) mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, manakala ADUN Kiulu Joniston Bangkuai (PBS) sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat adalah ADUN Matunggong Datuk Julita Mojungki (PBS) dan ADUN Tulid Flovia Ng (STAR).

ADUN Pitas Ruddy Awah daripada UMNO mengangkat sumpah Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala ADUN Tanjung Batu Andi Muhammad Suryady Bandy daripada UMNO sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Juhar turut menyampaikan watikah ADUN dilantik kepada Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Nasir, bekas Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi (UMNO), bekas ADUN lantikan daripada kerajaan negeri terdahulu, Jaffari Waliam dan Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.