Rakyat Malaysia Tidak Boleh Sambil Lewa Dalam Situasi COVID-19 Ketika Ini – Tunku Azizah

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar tidak mengambil sikap sambil lewa dalam situasi COVID-19 ketika ini.

Tunku Azizah bertitah baginda dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bimbang dengan situasi COVID-19 sekarang ini dan menyeru rakyat memainkan peranan masing-masing bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

“Sekarang ini kita lihat (kes) COVID-19 kembali semula di Malaysia dengan mendadak dua-tiga hari lepas, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada seluruh rakyat, jangan ‘relax’ (dan) sambil lewa sahaja, kita semua memainkan peranan penting untuk menahan COVID-19 ini merebak lagi.

“We are now at the stage that I think is very critical and we are must take care of ourselves, kita jaga diri kita, anak dan keluarga. Sebagai ibu kepada rakyat Malaysia, saya minta dan nasihatkan semua bersama-sama menahan COVID-19 daripada merebak begitu cepat,” titah baginda.

Titah baginda itu dimuat naik menerusi hantaran laman Facebook rasmi Istana Negara.

Raja Permaisuri bertitah situasi COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal, susulan itu penting kepada semua masyarakat menjaga diri dan keluarga agar dapat melindungi kesihatan anak-anak daripada dijangkiti wabak itu.

Baginda bertitah wabak COVID-19 telah menyukarkan anak-anak ke sekolah selain turut menjejaskan pembelajaran di sekolah sekarang ini.

“Kita mungkin sendiri menjadi superspreader, kita sepatutnya serik dengan apa yang kita lalui, jangan menyesal kalau benda ini merebak dengan cepat semula. Seperti yang saya katakan sekali lagi, kita semua memainkan peranan penting to stop spreading this COVID-19.

“Dengan adanya COVID-19 ini, anak-anak nak pergi sekolah menjadi susah, dari segi pelajaran pula tersekat sekejap sekarang ini. Education is very important. Saya begitu concerned dan prihatin dengan situasi COVID-19 ini,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah seluruh rakyat perlu mengambil iktibar daripada kesusahan yang dirasai ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lepas yang menjejaskan kehidupan seharian.

Wabak itu turut membataskan pergerakan seluruh rakyat selain sektor ekonomi dan pendidikan turut terkesan, titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.