SUK Pahang Tidak Galak Perhimpunan Lebih 100 Orang

KUANTAN, 7 Okt – Semua jabatan kerajaan di Pahang tidak digalakkan untuk menganjurkan perhimpunan atau program yang melibatkan penyertaan lebih 100 orang dalam satu-satu masa, mulai hari ini hingga 22 Okt depan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Arahan itu dikeluarkan sebagai langkah tambahan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Pahang selain menasihatkan jabatan kerajaan agar tidak menghantar kakitangan mereka ke luar negeri sama ada atas urusan latihan, mesyuarat, lawatan kerja, seminar atau bengkel.

“Semua jabatan juga tidak digalakkan mengadakan mesyuarat atau sebarang program yang melibatkan kehadiran pihak luar dari Pahang,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Selain itu, Sallehuddin berkata semua kelab golf awam di negeri ini juga dinasihatkan untuk hanya membenarkan ahli beriadah di kelab tersebut, buat masa ini.

Dalam kenyataan sama, Sallehuddin memaklumkan semua masjid di Pahang yang ditutup sejak 25 Sept lalu kini dibenarkan beroperasi semula selepas tiada penularan kes baharu di kawasan terlibat.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang memutuskan supaya masjid atau surau yang berada dalam lokaliti kes positif COVID-19 ditutup dan antara yang terlibat ialah sebuah masjid di Jerantut dan empat di Sungai Isap, Kuantan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.