COVID-19: Sepuluh Kluster Catat Pertambahan Kes, Termasuk Dua Kluster Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Sebanyak 10 kluster aktif COVID-19 mencatatkan pertambahan kes hari ini termasuk dua kluster baharu iaitu Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Tembok kekal mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan 139 kes baharu.

Mengenai perincian kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Puchong dikenal pasti di Petaling, Selangor; Larut, Matang dan Selama serta Kinta, Perak.

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13061, kes ke-13065 dan kes ke-13069) dikenal pasti positif pada 5 Okt hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif di Larut, Matang dan Selama serta Kinta dikenal pasti seterusnya dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 39 individu telah disaring manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sementara itu, Kluster Penjara Reman dikenal pasti di Timur Laut, Pulau Pinang dengan kes indeks kluster (iaitu kes ke-13499) merupakan kes kematian ke-141, lelaki warga tempatan berusia 85 tahun.

“Beliau telah dijumpai tidak sedarkan diri pada awal pagi 5 Okt di dalam penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

Saringan COVID-19 yang dijalankan pada hari sama dikesan positif. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif melibatkan warga tempatan dikenal pasti pada 6 Okt, mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya.

Kata Dr Noor Hisham, sehingga 12 tengah hari tadi seramai 286 individu telah disaring serta punca jangkitan masih dalam siasatan.

Selain daripada tiga kluster itu, kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes termasuk Kluster Bah Sintok (14 kes); Kluster Jalan Meru (empat kes); Kluster Laut (dua kes); Kluster Benteng PK (dua kes); Kluster Selasih (dua kes); serta Kluster Bah Tanjung dan Kluster Embun masing-masing catat satu kes baharu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.