COVID-19: Malaysia Rekod 489 Kes Baharu, Dua Kluster Baharu Dikesan – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini menurun berbanding semalam namun tetap merekodkan tiga angka dengan mencatatkan 489 kes dan kemunculan dua kluster baharu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 487 merupakan penularan tempatan dan dua lagi merupakan kes import.

“Daripada 487 kes penularan tempatan, 467 kes melibatkan warganegara dan 20 kes lagi bukan warganegara manakala kes import melibatkan satu warganegara dan satu bukan warganegara yang mengembara dari India dan Kepulauan Maldives,” katanya dalam kenyataan berhubung situasi COVID-19 di sini, hari ini.

Dengan perkembangan itu, katanya jumlah kes positif keseluruhan adalah 13,993 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,351 kes.

Manakala terdapat 74 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,501 kes atau 75.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada pertambahan kematian dicatat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kekal 141 kes atau 1.01 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, sehingga kini, terdapat 40 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut perincian kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 139 kes merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar dan Pokok Sena, Kedah.

“Ia meliputi 28.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini dan kesemua kes positif dalam Kluster Tembok merupakan kluster terasing dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, katanya, 15 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah sebanyak 283 kes.

Perincian kes penularan dalam negara hari ini mengikut negeri pula ialah Sabah 282 kes, Kedah (153), Selangor (19), Pulau Pinang (tujuh), Johor (enam), Perak dan Terengganu masing-masing empat kes, Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing tiga kes, Pahang dan Putrajaya masing-masing dua kes, manakala Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing terdapat satu kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.