Tiada PKP, Kerana Ia Boleh Runtuhkan Sistem Sosial, Ekonomi Negara – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sekali lagi setakat ini kerana ia boleh meruntuhkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setakat ini, kita tidak memikirkan soal melaksanakan PKP di seluruh negara.

“Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara, nauzubillah,” katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 hari ini.

Oleh yang demikian, beliau berkata apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya.

Kes baharu COVID-19 di Malaysia terus meningkat dan hari ini mencatatkan 691 kes, angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan merekodkan empat kematian.

Selaras dengan peningkatan mendadak itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga kini meningkat kepada 2,936. Perkembangan terkini itu menyaksikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 13,504 dalam tempoh tiga hari, melepasi angka 12,000 dengan 12,088 kes pada Sabtu lepas.

“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan COVID-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini,” kata Muhyiddin.

Katanya setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar.

“Apa jua keputusan yang diambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Ekonomi Malaysia merosot 17.1 peratus pada suku kedua 2020 selepas negara mengambil keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan dengan penguatkuasaan yang ketat bagi membendung penularan COVID-19.

Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.9 peratus.

Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, 2020, yang kemudiannya dilonggarkan kepada PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Dis, 2020, yang menyaksikan ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur.

Bank Negara Malaysia menyemak kembali unjuran KDNK bagi 2020 kepada -5.5 peratus hingga -3.5 peratus daripada -2 peratus hingga 0.5 peratus sebelumnya memandangkan andaian awal berdasarkan kepada tempoh sekatan pergerakan selama empat minggu dan bukannya tujuh minggu.

Ekonomi dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus hingga lapan peratus pada 2021.

Dalam usaha merancakkan ekonomi, kerajaan setakat ini telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan bernilai RM305 bilion, dengan terkini ialah bantuan tambahan di bawah Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) berjumlah RM10 bilion seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN ialah lanjutan daripada pakej rangsangan ekonomi sebelumnya iaitu PRIHATIN, PRIHATIN SME PLUS dan PENJANA yang bernilai keseluruhan RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada KDNK negara dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan berjumlah RM45 bilion.

Terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi negara kerana beberapa indeks, antaranya sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport dan perbelanjaan kad kredit yang telah menunjukkan peningkatan ketara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.