Dua Lagi Kluster Dikenal Pasti, Jumlah Kluster Aktif Kini 39 – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Dua lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di Malaysia sebanyak 39 kluster.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Okt dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga 6 Okt, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring manakala punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi Kluster Ramai-Ramai, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 Sept.

“Kes dikesan positif pada 3 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti, melibatkan warga tempatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif lain yang mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini termasuk Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30 kes), Kluster Jalan Meru (15 kes), Kluster Bah Sintok (tiga kes); Kluster Benteng PK (dua kes); manakala Kluster Selasih dan Kluster Embun masing-masing mencatatkan satu kes baharu.
Dr Noor Hisham menjelaskan daripada 688 kes penularan di dalam negara, sebanyak 394 kes melibatkan kes daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah sekali gus meliputi 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

“Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam penjara dan dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pertambahan 394 kes hari ini menjadikan jumlah kes bagi kluster itu sebanyak 1,047 kes dan satu kematian direkodkan.

Sementara itu, memperincikan peningkatan kapasiti hospital di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata sehingga 6 Okt jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit COVID-19 adalah sebanyak 6,759 katil.

“Ia merangkumi 2,820 katil di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah dengan kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini masing-masing 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara.

“Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan enam peratus dan sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan 37 peratus bagi seluruh negara, termasuk bagi penggunaan pesakit bukan COVID-19,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai kesiapsiagaan KKM di Sabah, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam hospital berpakar di negeri itu yang merawat pesakit COVID-19 termasuk Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan serta Hospital Keningau.

Wad-wad tambahan telah dibuka di Bangunan Kompleks Sukan Likas, Bangunan Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM), Dewan Tun Haji Mustapha dan Dewan Rafflesia (ILKKM), Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih dan PPR Bubul Ria (Semporna) manakala Asrama Sekolah Menengah Agama dibuka bagi kes daerah Kunak.

“Kapasiti katil bagi enam hospital KKM dan 10 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil, dengan kadar penggunaan katil sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC.

“Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus,” katanya.

Pasukan bantuan juga telah diatur untuk membantu JKN Sabah mengendalikan wad tambahan ini serta menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital di negeri itu.

Tambahnya, setakat ini jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah adalah 2,500 ujian sehari.

Beliau berkata KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau dan memaklumkan setakat ini, sebanyak 15,000 RTK-Antigen telah selamat dihantar ke Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.