Dewan Rakyat Maklum Kekosongan Kerusi Parlimen Batu Sapi Kepada SPR

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P. 185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya itu bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 6 Okt 2020 kepada Pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 2 Okt 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Liew, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.