PKPB Di Kota Kinabalu, Penampang Dan Putatan Bermula Rabu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah, berkuat kuasa 12.01 tengah malam Rabu ini (7 Okt).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di tiga lokasi itu, selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan dan hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKPB itu, kemasukan ke Sabah juga adalah tidak dibenarkan kecuali bagi warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah bagi mereka yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, serta pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu.

Selain kategori itu, katanya, mereka diwajib mendapatkan kebenaran khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, dalam tempoh itu juga hanya dua orang dibenarkan keluar mendapatkan keperluan makanan atau keperluan lain, bagi isi rumah masing-masing.

“Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu pula tidak dibenarkan beroperasi dan perlu ditutup, manakala bagi restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka, dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Untuk pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja,” tambahnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata waktu operasi stesen minyak di tiga kawasan itu turut dihadkan, iaitu dari 6 pagi sehingga 6 petang sahaja. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.