Masih Degil: 979 Ditahan Ingkar Arahan, Gagal Amal Penjarakan Fizikal Kesalahan Tertinggi

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Walaupun negara kini mengalami gelombang ketiga penularan COVID-19, masih ramai yang terus berdegil apabila seramai 979 individu ditahan semalam kerana enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kegagalan untuk mematuhi penjarakan sosial menjadi kesalahan tertinggi dengan 516 individu ditahan, manakala gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri seramai 277 individu serta tidak memakai pelitup muka (163).

“Selain itu, premis beroperasi lebih masa (10), aktiviti dalam pub dan kelab malam (tujuh), premis beroperasi tanpa lesen (dua), langgar perintah kuarantin (dua), enggan buat saringan COVID-19 (satu) dan keluar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) tanpa kebenaran (satu),” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 944 individu telah dikompaun, 32 direman dan bakinya dijamin.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 48 pendatang asing, dua tekong dan empat penyeludup berjaya ditangkap.

Beliau berkata sebanyak 101 sekatan jalan raya Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 38,321 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis lain termasuk institut latihan awam dan institusi pengajian swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 8,698 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 orang dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 29,517 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Kesemua mereka pulang dari 33 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.