150 pegawai perubatan UD41 kontrak terima lantikan tetap – Dr Adham

KUALA LUMPUR : Seramai 150 Pegawai Perubatan Gred UD41 kontrak menerima tawaran lantikan tetap, selepas berjaya menamatkan program latihan siswazah (housemanship) masing-masing..

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata tawaran pelantikan berkenaan adalah selaras dengan permohonan perlantikan tetap, yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) 21 September lalu.

Katanya ia adalah kesinambungan kepada urusan pelantikan tetap, yang dilaksanakan sebelum ini kepada Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak), dari kalangan Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017.

“Pelantikan ini, dipersetujui oleh SPA untuk dianjak mulai 15 Mei 2017, iaitu bersamaan dengan tarikh lapor diri kesemua pegawai lantikan kontrak.

“Penempatan kali ini hanya dibuat di pejabat dan fasiliti kesihatan Sarawak selepas mengambil kira kepentingan perkhidmatan dan kekosongan jawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Adham berkata, semua pegawai berkenaan perlu melapor diri di Jabatan Kesihatan Sarawak pada 12 Oktober nanti.

“Seramai 66 pegawai dari jumlah itu ialah anak watan Sarawak, manakala bakinya iaitu 84 lagi atau 56 peratus terdiri daripada anak kelahiran Semenanjung, yang diyakini mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Pelantikan ini juga, katanya, menandakan semua anak kelahiran Sarawak dengan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) dalam Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017 berjaya memenuhi kriteria untuk dilantik ke jawatan tetap.- Berita Harian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.