Pelajar Terkesan Penangguhan Pendaftaran Diminta Hubungi Mampan – MB Pahang

KUANTAN, 4 Okt – Pelajar dari Pahang yang terkesan dengan arahan penangguhan pendaftaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diminta menghubungi Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata maklumat para pelajar diperlukan bagi membolehkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada mereka.

“Saya mohon anak-anak Pahang yang tinggal di tempat-tempat tinggal sewaan luar kampus supaya dapat memaklumkan kedudukan mereka sama ada melalui Mampan, kepimpinan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Pahang atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di IPTA masing-masing.

“Kerajaan negeri mengambil berat isu pelajar-pelajar anak Pahang, yang telah mendaftar di IPTA dan berada lebih awal di tempat tinggal sewaan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Pada Jumaat, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020 dan pelajar lama kembali ke kampus susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19.

Menurut kementerian itu, semua urusan pendaftaran pelajar serta aspek pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara dalam talian hingga pengumuman baharu mengenainya dibuat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.