Sultan Selangor Bimbang Kes COVID-19 Meningkat Mendadak

SHAH ALAM, 3 Okt – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan mendadak kes baharu pandemik COVID-19 di seluruh negara, khususnya di Selangor.

Baginda menggesa mana-mana individu yang bergejala atau baru pulang dari kawasan berisiko supaya segera melakukan ujian saringan di hospital serta patuh dengan arahan kuarantin wajib.

Khuatir dengan rakyat yang leka dan alpa, Sultan Sharafuddin menyeru supaya semua pihak terus berwaspada dan tidak mengambil mudah amalan prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

“Ini termasuk mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di tempat awam, sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, menggunakan cecair pensanitasi tangan serta menjaga kebersihan diri,” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.

Baginda juga secara khusus menasihatkan rakyat di Selangor yang berkepadatan 6.5 juta penduduk supaya kekal di rumah dan tidak keluar ke lokasi sesak atau tempat awam, jika tiada keperluan.

Mengikut statistik terbaharu, daerah di Selangor yang kembali merekodkan kes positif COVID-19 ialah Hulu Selangor (10), Klang (enam), Gombak (tujuh), Petaling (tiga), Hulu Langat (tiga) dan Sepang (dua).

Kes positif baharu tertinggi 287 yang dicatat di seluruh negara hari ini, meletakkan Malaysia di peringkat awal gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan jumlah kes positif COVID-19 meningkat kepada 11,771 kes.

Melihatkan perkembangan yang membimbangkan itu, Sultan Sharafuddin dengan tegas mengingatkan setiap individu daripada semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memutuskan rantaian COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.