COVID-19: 317 Kes Baharu, Tiga Kluster Baharu, Satu Kematian

PUTRAJAYA, 3 Okt – Sebanyak 317 kes baharu COVID-19, yang melibatkan penularan dalam negara dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan ia jumlah kes harian tertinggi direkodkan Malaysia selepas semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kematian akibat COVID-19 di Tawau, Sabah turut dilaporkan, selain tiga kluster baharu iaitu dua kluster – Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose – di Kedah dan satu Kluster Jelok di Selangor.

Beliau berkata kesemua kes baharu itu melibatkan 303 kes warganegara dan 14 bukan warganegara, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini 12,088 kes.

“Daripada 317 kes, sebanyak 37 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah 176 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kini adalah 137 kes.

Katanya kes kematian ke-137 (iaitu kes ke-10939) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.