Ubah Fakta Sejarah Perbuatan Jenayah Intelek, Keilmuan – Sultan Nazrin

IPOH, 1 Okt – Tindakan mengubah fakta sejarah merupakan perbuatan tidak adil dan satu perlakuan jenayah intelek serta jenayah keilmuan yang menafikan hak generasi akan datang untuk memperoleh fakta sebenar, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah langkah merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.

“Rekod sejarah yang lengkap berperanan penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan,” titah baginda ketika merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, di sini, hari ini.

Memberikan contoh tuntutan Pulau Sipadan-Ligitan pada 2002, Sultan Nazrin bertitah kejayaan Malaysia memenangi kes itu disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh manakala kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) pada 2008 adalah disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama pembuktian kes.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah tugas pegawai arkib ketika ini semakin kompleks dan mencabar dalam memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah, tepat serta cepat, lebih-lebih lagi apabila dokumen kini berbentuk elektronik, rekod bersifat sejagat yang boleh diakses oleh masyarakat antarabangsa.

“Alhamdulillah, para pegawai arkib terbukti peka dengan dinamik yang sedang berlaku. Mereka mengambil langkah aktif berhijrah daripada paradigma kerja yang didorong oleh keperluan penyelidikan akademik berasaskan keperluan untuk mengetahui kepada kegiatan mempromosi maklumat dan memudahkan akses maklumat kepada masyarakat dunia,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak itu juga bertitah, arkib tidak lagi berperanan sekadar mengumpul dan menyimpan bahan-bahan secara pasif, tetapi beralih untuk membangunkan peranan sebagai pemboleh akses, bertukar daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat, berusaha menghidupkan minat dan mencetuskan keghairahan masyarakat terhadap sejarah.

Oleh itu, baginda bertitah keperluan perkhidmatan baharu hendaklah dipadankan dengan prasarana perkhidmatan yang baharu di samping kesediaan pegawai arkib berhijrah menerokai budaya kerja baharu.

“…bermakna sumber manusia yang lebih profesional serta dana lebih tinggi diperlukan demi memastikan arkib tidak berakhir menerima nasib sebagai kawasan perkuburan terbiar yang terpinggir sunyi dan profesion pegawai tidak menerima nasib dinosaur yang pupus ditelan zaman kerana ditinggalkan oleh teknologi elektronik yang begitu pesat berkembang.

“Perkembangan persekitaran yang berlaku tidak harus ditafsirkan sebagai ancaman sebaliknya hendaklah dilihat sebagai hamparan peluang baharu yang menyuntik dimensi lebih dinamik terhadap profesion pegawai arkib,” titah Sultan Nazrin.

Dalam titah perasmian itu juga, Sultan Nazrin secara peribadi memuji tahap profesionalisme para pegawai arkib serta kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat dalam simpanan Arkib Negara yang banyak membantu ketika baginda menghasilkan dua buku sebelum ini dan kini sedang dalam proses menghasilkan buku ketiga.

Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang menyediakan peruntukan bagi membina bangunan arkib yang moden di Perak dan berharap Arkib Negara Malaysia terus maju dan berupaya berdiri sama tinggi dengan institusi arkib antarabangsa. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.