Kawalan Rentas Daerah Di Sabah Mulai 3 Okt – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kerajaan akan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.

Katanya sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam COVID Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menyiarkan nama individu yang positif COVID-19 kerana perkara tersebut tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, dan mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti wabak berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Begitu juga dengan arahan kuarantin 14 hari yang hanya KKM sahaja boleh menge luarkan surat pengesahan kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19 atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu kerana perkara itu boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 98 individu kerana ingkar arahan PKP semalam dengan 95 dikompaun dan tiga lagi direman, melibatkan kesalahan seperti penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal lunas caj kuarantin.

Menerusi Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara, beliau berkata seramai 59 pendatang tanpa izin ditangkap, selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot turut dirampas.

Mengenai kuarantin wajib, seramai 38,321 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga 30 Sept dan ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis termasuk institut latihan awam (ILA) dan institusi pengajian swasta.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 8,698 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 106 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan, selain 29,517 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.